Monday, April 21, 2008

Polis Yang Sibuk

Polis Malta masih kumpul bukti

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Dayang Sakienah Mat Lazim, 20, yang menghadapi tuduhan bersubahat menyeludup dadah di Malta, mempunyai peluang dibebaskan berikutan kesukaran polis mengemukakan bukti kukuh untuk mengaitkannya dengan kesalahan itu.

Pelajar kolej swasta dari Bukit Payong, Terengganu itu, semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk sebutan semula kesnya, tetapi pihak pendakwa sekali lagi memohon penangguhan kerana masih memerlukan masa untuk mengumpul bukti.

Dayang Sakienah yang diwakili peguam dilantik Kerajaan Malta, dibawa ke mahkamah pada jam 1 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia), tetapi prosiding itu ditangguhkan selepas majistret membenarkan permohonan pihak pendakwa.


Berikutan itu, tempoh tahanan reman pelajar berkenaan dilanjutkan sementara menunggu kesnya disebut semula.

"Nampaknya saya terpaksa menunggu kes saya lebih lama, tetapi tidak tahu sehingga bila boleh selesai," kata Dayang Sakienah yang dihubungi Berita Harian di Penjara Malta, malam tadi.

Katanya, prosiding kesnya tidak dapat diteruskan kerana polis belum dapat mengemukakan bukti untuk mengaitkannya dengan kesalahan itu.

Dayang Sakienah ditahan di sebuah hotel di Malta pada 4 Mac lalu dan didakwa di mahkamah berkenaan dua hari selepas itu, tetapi mengaku tidak bersalah.


Ketika kesnya disebut semula pada 14 Mac lalu, dia hampir dibebaskan selepas mahkamah mendapati bukti yang dikemukakan pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mengaitkannya dengan kesalahan itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk menangguhkan prosiding dan menetapkan semalam untuk sebutan semula kes itu.

Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Dayang Sakienah mengenai kesnya bagaimanapun gagal apabila talian terputus.

Pihak Penjara Malta yang dihubungi semula memaklumkan bahawa perbualan dengan Dayang Sakienah hanya dibenarkan disambung hari ini.

Dayang Sakienah adalah antara dua wanita Malaysia yang ditahan polis Malta kerana menyeludup dadah ke pulau itu. Seorang lagi Norfaizura Azura Md Lias, 28, dari Pulau Pangkor, Perak.

Mereka adalah antara 20 wanita negara ini yang dikatakan diperangkap sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di Madrid, Sepanyol, untuk dijadikan penghantar dadah ke beberapa negara di Eropah, selain ke Brazil, China, Mexico dan Australia.

Sementara itu, sebutan semula kes Norfaizura Azura akan didengar di mahkamah sama pada 9 Mei ini.

Norfaizura Azura yang ditahan di Lapangan Terbang Malta pada 17 Mac lalu, sebelum ini didakwa pada 14 April. Ibu kepada tiga anak dan kini mengandung tiga bulan, juga mengaku tidak bersalah.